Thursday, May 1, 2008

KEMBARA BUMI ABORIGINE - New South Wales

Australia – Bermulanya di sini...

November 2005, saya menerima panggilan telefon daripada Puan Iswati Ishak penerbit eksekutif Pepper media Sdn. Bhd dan menawarkan kepada saya pergi ke Australia untuk penggambaran program TV 'MY Australian Adventure' musim pertama. Pada mulanya saya tidak mempercayai tawaran tersebut, mungkin satu gurauan. Puan Iswati Ishak menjelaskan perkara sebenar bahawa beliau tidak bergurau dan bersungguh-sungguh kerana beliau kekurangan tenaga kerja produksi. Saya masih tidak mempercayainya kerana setahu saya bilangan tenaga kerja sudah mencukupi. Setelah didesak barulah saya terfikir mungkin ada kebenarannya. Saya minta berfikir kembali tawaran beliau. Tiga hari kemudian saya menghubunginya dan bersetuju untuk turut serta ke Australia. Saya ditugaskan sebagai Penerbit Penyelaras.


Memulakan Perjalanan...

Setelah persiapan diatur dengan rapi dan segala keperluan perjalanan termasuklah pasport, peralatan penggambaran dan perkara-perkara yang berkaitan dengan produksi tersedia, pada 3hb, Desember 2005, jam 6.00 petang saya dan rakan-rakan seperti Shahrul Nizam Nurdin – Creative Director, Zulkifli Zainul – Juru Kamera Kanan, Malek Sulamin – Penolong Pengarah, Mohd Anuar Ahmad – Juru Kamera dan Ms Yin Cheng – Pengurus Tourism Australia (Malaysia) memulakan perjalanan ke KLIA. Jam 7.00 petang kami berada di KLIA, setelah proses check in, menukar matawang USD kepada Dollar Australia dan bagasi selesai kami menuju ke balai berlepas dan menaiki kapal terbang Singapore Airline – SQ 119 Kuala Lumpur – Singapura. Jam 9.45 malam kapal terbang berlepas ke Singapura dan satu jam kemudian kami mendarat di Lapangan Terbang Changi tepat jam 10.40 malam.


Rombongan kami berehat sementara untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Australia. Penerbangan ke Australia dijangka jam 12.20 tengah malam dan sementara menunggu kami sempat menjamu selera dengan hidangan mee rebus udang Singapura. Mee rebus udang yang saya makan tidak habis kerana patah selera kerana hati berdebar-debar adakah perjalanan saya dan rakan-rakan ke Australia itu menjadi kenyataan atau tidak. Saya masih tidak percaya apakah benar saya akan ke Australia kerana pertama kali ke bumi aborigine lebih-lebih lagi Australia yang tidak terlintas dan termimpi untuk ke sana. Jika dibandingkan Shahrul dan Zulkifli yang sebelum ini sudah menjejakkan kaki di Australia sewaktu membuat tinjauan awal di sana. Serba sedikit maklumat tentang Australia diberitahu oleh mereka berdua, sekurang-kurangnya dapatlah saya memahaminya. Kemudian saya, Shahrul dan Zulkifli ke satu lokasi khas untuk merokok. Ramai juga orang yang berada di kawasan merokok itu, kelihatan juga pelancong luar tidak ketinggalan menghisab rokok.


Setelah selesai kami menuju ke balai berlepas, sementara menunggu kami mengisi satu borang data kemasukkan dan tujuan berada di Australia. Kemudian kami menaiki pesawat Singapore Airline SQ 231 Singapura – Australia. Saya duduk ditepi tingkap, di sebelah saya Malek. Anuar. Shahrul dan Zulkifli duduk di bahagian tengah (economi class). Yin Cheng duduk berasingan (business class).


Menuju ke Australia...

Penerbangan ke Australia memakan masa tujuh jam perjalanan. Sudah tentu membosankan kerana jarak yang begitu jauh dan memenatkan. Makan malam (muslim food) disediakan untuk kami. Nasi putih berlaukkan ayam membuka selera saya. Sempat juga berbual-bual dengan Malek dan Anuar. Saya tidak dapat melelapkan mata sepanjang penerbangan itu. Entah kenapa, mungkin faktor tidak selesa menyababkan saya sukar untuk melelapkan mata. Saya hanya melayan tayangan filem pada skrin kecil dan sesekali melihat grafik pergerakan pesawat, suhu, masa, ketinggian dan peta negara yang dilalui pada skrin kecil itu.


Dalam hati berkata bilalah akan sampai, melihat pada skrin baru melintasi pulau Jawa. Melihat Malek dan Anuar terlena terasa geram pun ada. Kaki mula kebas, peduli apa saya buka kasut dan membuat senaman regangan supaya hilang kebas. Lima jam pesawat rasa sesak nafas mungkin disebabkan tekanan suhu dan udara menambahkan lagi saya tidak selesa. Hati mula memberontak untuk keluar berjalan-jalan. Tapi apakan daya saya berada dalam pesawat pergerakan yang terhad. Bertahan sahajalah dan hanya membilang waktu bila akan sampai ke destinasi.


Jam 5.00 pagi, saya dan rakan-rakan menikmati hidangan sarapan pagi. Saya tidak mengingati apakah sajian yang saya makan ketika itu. Ketika makan itu, saya menoleh ke luar tingkap, maha suci Allah dengan kebesarannya saya menikmati keindahan fajar di waktu pagi ciptaanNya. Warna merah kekuningan di sebalik gumpalan awan. Setelah selesai menjamah sajian, saya melihat grafik kedudukan pesawat pada skrin, ternyata pesawat sedang berada di ruang udara Perth, Australia. Bermakna tinggal tiga jam lagi pesawat akan mendarat di Sydney jam 10.55 pagi iaitu New South Wales negeri pertama yang bakal kami jejaki.


Australia Semakin Menggamit...

4hb, December 2005, jam 10.30 pesawat yang membawa saya dan rakan-rakan sudah berlegar-legar di ruang udara New South Wales. Ketinggian pesawat semakin menurun dan saya memerhatikan dan dapt melihat muka bumi Australia yang luas saujana mata memandang. Berpetak-petak berwana kuning keemasan, Ada juga petak-petak yang berwarna hijau, landai dan tenang. Saya membayangkan mungkinkah yang saya lihat itu ladang-ladang ternakan yang luas seperti mana ketika belajar Geografi sewaktu di sekolah dahulu.


25 minit kemudian pesawat berada di ruang udara Sydney. Saya lihat lagi keluar tingkap, kali ini jelas terlihat rumah-rumah dan bangunan di bandaraya Sydney terpampang di depan mata. Lapangan terbang Sydney semakin hampir dan pesawat mula mendarat di landasan. Hati saya berkocak lagi apakah benar saya sudah berada di bumi Aborigine. Jam 10.55 waktu tempatan, pesawat berhenti di terminal Lapangan terbang Antarabangsa Sydney. Saya dan rakan-rakan bersiap sedia ke balai ketibaan. Sampai sahaja di pintu masuk imagresen saya dan rakan-rakan menuju ke kaunter imagresen dan serahkan pasport untuk kemasukkan.


Di kaunter saya dan Anuar menghadapi masalah teknikal kerana pasport antarabangsa saya tidak dapat dibaca pada mesin pengimbas. Hati saya berdebar dan bertanya pada pegawai bertugas adakah pasport saya bermasalah. Pegawai tersebut hanya memberitahu mesin pengimbas tidak dapat mengesan data pada pasport. Saya menunggu hampir 10 minit dan akhirnya kemasukkan saya di buat melalui proses manual. Lega rasa di hati masalah pertama sudah selesai. Saya lihat Anuar di bawa ke dalam satu bilik entah apa yang berlaku pada dirinya. Yin Cheng bergegas membantu menyelesaikan masalah Anuar. Saya teringat ketika itu belum reda lagi isu keganasan yang dikaitkan dengan orang islam. Mana-mana nama yang menggunakan Muhammad atau Ahmad dan berjanggut pasti menghadapi sedikit masalah. Alahamdulillah masalah Anuar dapat diselesaikan. Sebelum Yin Cheng juga pernah mengingatkan kami jangan sekali-kali menyebut perkataan 'terrorism'.


Bermulanya Langkah Pertama...

Sebelum melangkah ke pintu balai ketibaan, Anuar dan Zulkifli bersama Yin Cheng ke bahagian kastam untuk iystihar barang peralatan penggambaran. Setelah pemeriksaan pihak kastam, kami bergerak ke pintu balai ketibaan. Ketibaan kami disambut oleh Jon Robinson wakil Tourism News South Wales. Jon mempamerkan tanda 'TV3 Malaysia' dan menyambut kedatangan kami dengan senyuman. Kami bersalaman dan memperkenalkan diri masing-masing. Sebelum menuju ke kenderaan, saya dan rakan-rakan sempat menukar mata wang USD kepada dollar Australia. Saya tidak ingat berapa jumlah mata wang yang saya tukar.


Saya dan rakan-rakan melangkah keluar sambil menolak troli barang-barang menuju ke kenderaan yang sudah menunggu. Dalam perjalanan itu Shahrul sempat bertanyakan saya “Leh, sekarang kau percaya tak, kau berada di Australia?” Saya menjawab “Selagi aku belum balik ke Malaysia aku tak percaya lagi.” Shahrul hanya senyum sahaja. Ketika itu saya terasa dingin, angin bertiup sepoi-sepoi. Walaupun ketika itu musim panas di Australia dan bersuhu siangnya 25 C hingga 35 C. Kami diberitahu pada malamnya suhu mencecah 20 C.


Kami memunggah barang-barang penggambaran dan beg pakaian ke dalam kontena kecil yang ditarik bas mini yang disediakan Holiday King Travel. Kami semua menaiki bas mini dan bergerak meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju ke hotel penginapan Southern Cross On Harbour yang terletak di Corner Harbour & Goulburn Streets di bandaraya Sydney. Dalam perjalanan menuju ke hotel saya kagum dengan keindahan dan kehebatan bandaraya Sydney. Bandar yang cantik, bersih,tenang dan tidak sesibuk seperti di Kuala Lumpur. Trafik bebas sesak dan kenderaan bertali arus keluar masuk pusat bandar. Kedaaan sungguh berbeza jika dibandingkan lalu lintas di Kuala Lumpur.


Kelvin pemandu Holiday King Travel dengan tenang membawa kami melalui Sydney Brigde dan jalan-jalan di sekitar bandar. Saya terlihat bangunan Opera House yang terletak di seberang Sydney Brigde yang menjadi simbol dan lambang kebanggaan rakyat Australia malah menjadi landmark yang terkenal di seluruh dunia. Mengingatkan kembali sewaktu membelek majalah pelancongan di tempat kerja, Opera House akhirnya berada di depan mata. Seperti tidak percaya apakah benar saya berada di sini. Leka melihat pemandangan laut, bangunan tinggi mencakar langit, laut yang membiru sebiru langit yang memayungi lanskap buminya saling lengkap melengkapi. Bandaraya Sydney yang terletak berhampiran teluk menyaksikan bot-bot dan kapal dari yang sekecil hingga yang besar berlabuh dan bergerak di merata-rata tempat. Melihat itu semua, mengantuk saya sejak dalam penerbangan sepanjang 9 jam lamanya hilang begitu sahaja.


Langkah Seterusnya...

Tanpa disedari kami sampai di hotel penginapan, Jon dan Yin Cheng menguruskan daftar masuk. Saya dan rakan-rakan mengeluar dan menurunkan beg pakaian dan menyimpannya ke dalam stor untuk sementara waktu. Cuma peralatan penggambaran yang akan dibawa untuk tugasan seterusnya. Selesai daftar masuk, Jon membawa kami ke Waterfront Restaurant yang terletak di 27, Circular Quay West tidak jauh dari lokasi penggambaran pertama kami di The Rocks untuk menikmati hidangan makan tengah hari. Waterfront Restaurant menyediakan makanan laut – seafood platters untuk enam orang. Seafood platters mengandungi Udang Kara – lobsters, udang harimau, ketam termasuk fish & chips.


Inilah kali pertama saya makan lobsters sepanjang hidup saya. Sambil makan kami berbual-bual sesama sendiri dan kadangkala Jon bertanyakan sesuatu tentang Malaysia. Jon beritahu dia pernah ke Pulau Pinang dan menyukai Laksa Penang. Restoran yang menghadap Opera House di pingggir tebing ini sungguh unik dan menarik bersih dan cantik. Sayangnya makanan yang dihidangkan itu tidak mempunyai rasa seperti kita di Malaysia. Udang Kara kelihatan segar dan rasanya sedikit manis dicicah dengan sos yang agak tawar tiada sos cili. Garam disediakan terpulang untuk menggunakannya. Kebanyakan makanan laut yang disediakan itu cuma direbus dan digoreng sahaja. Saya terfikir barangkali Mat Salih mahu mengekalkan makanan tanpa mengubah keaslian rasa atau menambah sebarang perasa. Saya juga terlihat, dua orang mungkin pasangan suami isteri yang makan seafood platters dengan kuantiti yang banyak dengan tenang dan bersahaja sambil berbual-bual akhirnya menghabiskan seafood platters dengan mudah sekali. Kami yang makan seafood platters untuk dua orang tidak berupaya untuk menghabiskannya.








Ketika di Sydney Australia bersama Zulkifli dan Anuar berlatar belakang Sydney Brigde.


Sebelum menikmati hidangan saya berkesempatan bersiar-siar di tebing berhampiran Waterfront Restaurant dan sempat mengambil beberapa keping foto kenangan berlatar belakang bangunan Opera House. Sementara membatu Zulkifli mengambil visual cutways sekitar bandar Sydney saya sempat mengambil gambar untuk pelancong Sweden.











Bergambar bersama Yin Cheng, Anuar, Jon Robinson dan Shahrul di Sydney Brigde


Tugasan pertama...

Selesai menikmati makan tengahari, jam 13.30 petang kami bergerak untuk tugasan pertama membuat penggambaran program My Australian Adventure di The Rocks Markets. Kawasan ini terkenal dengan jual beli barang-barang seni kraftangan, kain, hiasan dan pelbagai barangan cenderamata yang menarik dan dijual oleh rakyat tempatan. Ia juga memperlihatkan seperti pasar sehari dibuka pada hari Sabtu dan Ahad jam 10am hingga 5 petang. The Rocks Markets mula tumbuh sejak 1991 lagi, lebih kurang 150 gerai terdapat di sini yang dipayungi kanopi. Harga yang berpatutan setiap barang yang dijual. Saya tidak membeli apa-apa barangan di pasar tersebut sekadar menjamu mata sambil membuat penggambaran cutways bersama Anuar. Sementara Zulkifli, Malek dan Shahrul membuat penggambaran di bahagian lain tempat yang sama. Penggambaran berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada peniaga dengan bantuan pemandu pelancong kami Mr. Jon Robinson.


Sejam kemudian kami bergerak menuju ke Sdney Tower yang terletak di Market Street Sydney untuk ugasan tinjauan Skywalk. Sepanjang perjalanan ke Sydney Tower, Zulkifli sempat mengambil visual cutways pemandangan bandaraya Sydney di kiri kanan jalan. Sepanjang perjalanan itu saya dapati tiada kesesakan lalu lintas. Apa yang saya perhatikan bilangan motosikal tidaklah begitu banyak jika dibandingkan di Kuala Lumpur. Masyarakat di sana lebih gemar menggunakan khidmat pengangkutan awam atau berjalan kaki untuk urusan harian. Saya juga memerhatikan beberapa bangunan moden dan klasik saling bergandingan, masih terpelihara denga baik. Juga tiada sampah sarap bertaburan sepanjang tepi jalan.


Setengah jam kemudian kami sampai di Sydney Tower. Bangunan ini terletak di celah-celah bangunan dan agak sukar untuk mengambil visualnya. Fokus penggambaran hanya pada puncak Sydney Tower. Itulah sudut yang terbaik yang kami dapat ambil. Oleh kerana kedudukan Sydney Tower agak jauh dari lokasi parkir, kami dikehendaki berjalan kaki untuk sampai ke sana. Kami semua menaiki lif hingga ke Centre Podium Level, kedatangan kami disambut mesra oleh pegawai bertugas Skywalk. Sebelum tinjauan dijalankan, kami diberi penerangan ringkas tentang keselamatan dan cara-cara bagaimana berjalan ketika berada di di tepian Skywalk.

Selesai sesi penerangan saya, Shahrul, Zulkifli dan Yin Cheng memakai pakaian khas berwarna biru untuk memulakan tinjauan dan penggambaran cutways. Malek dan Anuar tidak ikut serta. Perasaan berdebar-debar semakin memuncak kerana inilah kali pertama saya berada di ketinggian altitud di Sydney Tower. Skywalk ini begitu unik kerana kita boleh berjalan di luar mengelilingi puncak Sydney Tower dan dapat menyaksikan keindahan bandaraya Sydney dari atas puncak dua kali ganda dari Sydney Harbour Bridge. Sydney Tower berketinggian 268 meter.



















Berada di puncak Skywalk, Sydney Tower.

Sewaktu berada di luar perasaan gementar dan gayat tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Perlahan-lahan kami mengelilingi Skywalk, semakin lama semakin teruja kerana dapat menikmati pemandangan bandaraya Sydney daripada atas. Angin sejuk bertiup di setiap penjuru, sekali-sekala awan melintas di depan mata. Laut dan langit biru saujana mata memandang. Sayup-sayup kapal dan bot berlabuh. Di bahagian daratan kelihatan luas tanah pamah, pantai-pantai yang memutih.


Tidak terlintas langsung di fikiran saya berada di puncak Sydney Tower. Sedangkan Menara Kuala Lumpur pun saya belum pernah menjejakinya, inikan pula di negara orang. Pengalaman yang paling sukar dilupakan ketika berada di lantai kaca di mana apabila memandang ke bawah diri terasa terbolos, seram sejuk dibuatnya. Sambil memerhatikan sekeliling, tugasan mengambil cutways diteruskan. Di sebelah barat kelihatan matahari semakin melabuhkan tirainya. Hampir dua jam kami berada di Sydney Tower, tinjauan di Skywalk berakhir dengan selamatnya. Esok penggambaran sebenar akan dijalankan melibatkan selebriti Dephne Iking, Naz dan Erin. Mereka dijangka akan sampai di Sdney pada esok harinya.








Naz, Dephne dan Erin sedang beraksi di Skywalk, sebenarnya mereka pun gayat

Jam 4.30 petang kami beransur pulang ke bilik hotel penginapan dan kemudian kami menikmati makan malam di Naptune Palace Restaurant. Makan malam kami jam 5 petang waktu tempatan dan jam 8 malam waktu Malaysia. Naptune Palace Restaurant menyajikan masakan ala Malaysia dan China. Pemilik restoran ini rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia. Seharian kami belum menjamah nasi dan pada malam itu kami pulun hingga kekenyangan.


Apa yang saya perhatikan, sepanjang berada di Sydney terdapat banyak di serangga seperti lalat berterbangan, hinggap di muka dan di mana sahaja. Kepada mereka yang tidak biasa keadaan seperti ini sudah tentu kurang selesa. Serangga lalat ini berada di luar bangunan, kawasan lapang dan terbuka. Saya diberitahu oleh Zulkifli, sewaktu dia dan Shahrul membuat tinjauan penggambaran dahulu pun memang banyak serangga lalat ini menghurung. Juga difahamkan serangga lalat ini wujud pada musim panas dan kebetulan sewaktu penggambaran program ini jatuh pada musim panas. Tidak hairanlah jika lalat ini senang-senang masuk ke dalam mulut jika tidak berhati-hati.

Malamnya kami menginap di hotel Southern Cross On Harbour, saya dan Shahrul satu bilik. Sementara Zulkifli, Anuar dan Malek di bilik bersebelahan. Mata belum mahu idur lagi, jadi kami bersembang-sembang dan berbincang hingga larut malam. Berakhirlah hari pertama kami berada di Australia dan esok kami akan memulakan kembali tugasan yang lebih mencabar di Sydney.


Hari kedua 5hb, Desember 2005 kami bersiap-siap untuk meneruskan penggambaran program My Australian Adventure. Sebelum bergerak jam 7.30 pagi kami menikmati sarapan pagi di sebuah cafe di Novatel iaitu di seberang jalan empat kami menginap. Kami menggunakan baucer yang diberikan untuk sarapan pada pagi tersebut. Terdetik juga di hati apakah hidangan yang disediakan itu semuanya halal?. Kami terpaksa memilih makanan yang ringkas dan halal di makan. Kebanyakan kami mengambil roti dan kentang goreng bersama jus oren. Selesai sarapan jam 8 pagi kami mula bertolak ke Queen Victoria Building, Pitt Street Mall.

Setengah jam kemudian kami sampai di Queen Victoria Building, Pitt Street Mall. Bangunan klasik itu tampak menarik dengan reka bentuk seninya. Kami mengambil bebarapa shot establish. Kedudukan bangunan yang terletak di tengah bandaraya Sydney itu kelihatan dominan kerana masih mengekalkan keasliannya. Selesai penggambaran kami bergerak berjalan kaki menuju ke The Strand Arcade yang terletak di dalam bangunan Queen Victoria Building. Pusat membeli-belah yang menyeronokkan ini mengandungi kedai butik pakaian berjenama dari pereka fesyen terkemuka dari Australia. Juga terdapat kedai barang kemas, barang hiasan dan sebagainya. Menariknya The Strand Arcade ini masih mengekalkan reka bentuk asal sejak di bina tanpa sebarang perubahan. Daripada lantai, dinding, syiling, lif dan lot-lot kedai hinggalah hiasan dalaman semuanya masih kekal hingga ke hari ini.


Sementara menunggu ketibaan pengacara program Naz, Dephne dan Erin dari Singapura, saya, Anuar, Zulkifli, Malek dan Shahrul membuat penggambaran cutways di sekitar arked tersebut. Jon Robinson dan Kelvin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney untuk mengambil dan menjemput Naz, Dephne dan Erin yang tiba jam 10.55 pagi. Kami juga sempat membasahkan tekak dengan minuman black coffee dan berehat seketika. Menariknya black coffee ini adalah aroma dan rasa yang enak, walaupun sedikit pahit namun dapat menghilangkan rasa mengantuk. Anuar pula sakit kepala apabila minum black coffee sungguhpun dia teringin untuk menghabiskannya. Gelihati melihat urat dahinya terkeluar.




























Naz, Daphne dan Erin di The Strand Arcade.

Kehadiran Naz, Daphne dan Erin menceriakan penggambaran program ini, telatah yang melucukan sering terjadi ketika penggambaran dijalankan. Hampir sejam kami menghabiskan masa penggambaran di sekitar kedai-kedai The Strand Arcade.Setelah selesai penggambaran di dalam kami beredar keluar untuk penggambaran outdoor di The Strand Arcade.

Jam 13.30 petang kami makan tengahari di Bodhi Yum Cha, Cook & Philip Cook Park. Makan tengahari yang agak ringkas tetapi tidak mengeyangkan. Makanan yang dihidangkan sekadar mengalas perut sahaja. Saya tidak dapat mengingati apakah hidangan yang disajikan, mungkin fish & chips.








Naz, Daphne, Erin dan Jon Robinson ketika makan tengahari tidak jauh dari Darling Harbour

Selesai makan tengahari penggambaran diteruskan di Eastern Pontoon, Circular Quay. Kali ini penggambaran menaiki jet bot, dua jet bot digunakan untuk memudahkan penggambaran. Oz Jet Boating menyediakan perkhidmatan bot laju menyusuri laut di sekitar Sydney. Manaiki jet bot ini kami menikmati pemandangan dari atas air di mana Opera House, Sydney Brigde dan bangunan di di sekitar tebingnya dapat dilihat. Kelajuan jet bot mencecah 45 knot lebih kurang 80km sejam dan boleh berpusing sekitar 360 darjah dan berhenti mengejut. Seram sejuk juga ketika menaiki jet bot, kami bimbangkan keselamatan dan kamera yang digunakan. Walaupun jaket keselamatan dan baju kalis air disediakan namun silap langkah boleh terhumban dalam laut. 35 minit masa berlalu tidak terasa dan penggambaran selesai.












Anuar mengambil shot Naz, Daphe dan Erin di atas jet bot.

Jet bot bergerak berlatar belakang Opera House dan Sydney Bridge.

Jet bot lalu di hadapan Sydney Opera House.

Jam 4.00 petang kami masih lagi di lokasi Darling Habour, penggambaran dijalankan di sekitar waterfront Cockle Bay yang terkenal dengan aktiviti perniagaan dan pelancongan. Kawasan ini terdapat kafe, restoran lima bintang dan pertunjukan kesenian. Terdapat juga penyanyi jalanan – busker yang mencari makan dengan membuat persembahan. Kawasan ini juga diadakan sambutan tahun baru, sambutan Hari Krismas dan Hari Australia.

Saya dan rakan-rakan berpeluang melihat secara dekat persembahan kesenian kaum peribumi Australia – Aboriginal. Mereka mempersembahkan lagu dengan menggunakan alat muzik digiridu. Jon Robinson tidak menggalakkan kami mengambil gambar kaum peribumi ini atas alasan tidak diketahui, yang pasti pihak pelancongan Australia tidak mahu highlight kehidupan dan budaya mereka. Kami juga sempat membeli CD lagu yang dijual oleh kaum Aborigine ini dengan harga 20 AD sekeping.

Aboriginal – Peribumi Australia sedang membuat persembahan di Waterfront, Darling Habour

Sebelum kami perpindah ke lokasi Skywalk, Sdyney Tower untuk penggambaran sebenar, kami bergerak menuju ke lokasi seterusnya ke Sydney Opera House. Penggambaran hanya dijalankan di luar bangunan Sydney Opera House. Tidak banyak aktiviti penggambaran yang dijalankan di sini, hanya sekadar Naz, Daphne dan Erin berjalan-jalan sambil melihat keunikan bangunan Sydney Opera House. Penggambaran di Sydney Opera House tidak termasuk di dalam jadual perjalanan – itinerary.

Naz, Daphne dan Erin di Sydney Opera House

Bergambar beramai-ramai di Sydney Opera House

Jam 5.00 petang kami berada di Skywalk, Sydney Tower. Kali ini semua krew berkesempatan naik ke puncak Sydney Tower. Hampir sejam penggambaran dijalankan. Sebelum ini saya ada menceritakan keunikan dan kehebatan Skywalk. Sayangnya saya tidak dapat menunjukkan gambar-gambar ketika saya berada di Skywalk. Kebanyakan gambar saya terdapat di dalam kamera Yin Cheng. Yin Cheng berjanji akan memberikan gambar tersebut tetapi hingga kini saya belum menerimanya.

Ketika berada di Skywalk, Sydney Tower. Naz paling takut dan gayat pada ketinggian

Skywalk adalah lokasi terakhir penggambaran kami pada hari kedua kami berada Sydney, Australia. Selesai penggambaran kami semua menerima sijil penyertaan – Official 'Skywalker' Live On The Edge. Walaupun penat sepanjang hari di lokasi, namun kami berpuashati kerana dapat menimba pengalaman baru yang belum pernah dialami.

Sebelum saya meneruskan pengalaman pada hari ketiga, ada baiknya saya menerangkan kronologi secara ringkas sejarah yang berlaku di negeri New South Wales. Walaupun orang Aboriginal sudah menghuni di wilayah ini (Sydney) sejak ribuan tahun. Bandaraya ini secara ringkasnya mempunyai hubungan dengan sejarah moden dan satu keajaiban yang menarik berasaskan ilham penghantaran penjenayah British pada abad ke 18 ke benua ini.

Menyentuh mengenai – Aboriginal Sydney, orang asli ini mempunyai tiga bahasa utama iaitu Dharug, Kuringai dan Dharawal. Nenek moyang mereka tinggal di kawasan sekitar Sydney sekurang-kurangnya 40,000 tahun sebelum penemuan dan kedatangan James Cook lagi. Mereka masih mengekalkan warisan kehidupan tradisional dan salah satu alat muzik yang popular ialah Digiridu dan senjata unik – boomerang.

Pada April 1770, James Cook seorang kelasi dan jurumudi terkenal Inggeris telah mendarat di Botany Bay, Sydney Australia. James Cook kemudiannya menuntut seluruh kawasan pantai timur Australia sebagai milik Britain di atas nama ‘New South Wales’. Penemuan James Cook ini akhirnya menjadi tapak koloni Inggeris.

Sydney mula dibangunkan pada 26 Januari 1788 apabila sebelas kapal armada yang pertama, membawa 1,400 orang termasuk tentera, pentadbir, banduan, peneroka, ahli keluarga dan sebagainya tiba dari England dan membentuk koloni yang baru. The Rocks adalah bandar tertua – kampung yang mendapat namanya berasal dari tebing yang berbatu. Pada awalnya kawasan ini didirikan khemah oleh banduan yang pertama sampai pada 1788. Kini, The Rocks adalah lokasi yang paling popular, nadi dan jantung kepada Sydney.

Bermulanya pembukaan ladang-ladang pada 1813, penemuan emas pada 1851 dan sistem pengangkutan bertambah, Sydney semakin berkembang pesat. Pada 1925 penduduk di Sydney melebihi 1 juta orang dan menjelang tahun 1963 penduduk bandaraya Sydney mencecah 2 juta orang. Kini, penduduk Australia melebihi 22 juta orang. Pada 1988, Sydney menyambut 200 tahun penerokaan orang Eropah di Australia. Sydney juga pernah menjadi tuan rumah sukan Olimpik yang berjaya era moden dalam penganjurannya pada tahun 2000. Menariknya di Australia, kebanyakan bandar-bandar utamanya terletak di pesisir pantai, jauh di pendalaman hanya kawasan perladangan dan kawasan gurun.

Australia mempunyai 7 buah negeri iaitu Northern Australia – Darwin, Queensland – Brisbane, New South Wales – Sydney, Victoria – Melbourne, Tasmania – Hobart, South Australia – Adelaide dan Western Australia – Perth. Ibu negeri Australia – Canberra. Australia juga mempunyai kepelbagian haiwan yang unik seperti Kanggaroo, Koala, Wallabies, Wombats, dolphine dan sebagainya.

bersambung...